Diskaun 50% Untuk MRT, LRT, Monorel Sehingga 31 Ogos

SISTEM pengangkutan awam Mass Rapid Transit (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Kajang, pagi tadi.

Bersempena dengan pembukaan MRT laluan SBK, Najib turut mengumumkan diskaun 50 peratus buat pengguna MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel dan Bus Rapid Transit (BRT) bermula esok (18 Julai) sehingga 31 Ogos ini.

Diskaun ini diberikan sempena kejayaan MRT yang siap dibina dua minggu lebih awal dari tarikh jangkaan siap selain berjaya mengurangkan kos pembinaan sebanyak RM2 bilion.

“Projek MRT yang pada awalnya dijangka menggunakan dana berjumlah RM23 bilion berjaya dikurangkan kepada RM21 bilion.

“Projek fasa pertama dilancarkan pada 16 Disember tahun lalu ternyata berjaya membawa perubahan ketara kepada rakyat apabila 160,000 kereta berjaya dikurangkan di jalan raya setakat ini,” kata Najib dalam ucapannya pagi tadi.

MRT jajaran Sungai Buloh-Kajang akan beroperasi sepenuhnya pada Isnin, 17 Julai 2017 bermula jam 4 petang.

Terdapat 31 stesen di sepanjang jajaran sepanjang 51 kilometer ini, di mana tujuh adalah stesen bawah tanah sepanjang 9.5 kilometer. – MYNEWSHUB.CC

Loading...