Himpunan Usahawan Muda Paling Ramai Di POLISAS Tercatat

KUANTAN – Himpunan 885 penuntut institusi pengajian tinggi di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di sini hari ini mencatat sejarah sebagai himpunan usahawan muda paling ramai dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Mereka yang merupakan pelajar dari 28 politeknik dan 19 kolej komuniti di seluruh negara kelihatan gembira apabila rekod itu disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi MBR Christopher Wong.

Turut hadir meraikan detik manis pelajar berkenaan ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri  Pahang Datuk Seri Ishak Muhamad.

Sementara itu, Pengarah POLISAS Norlida Abd Razak berkata pelajar terbabit merupakan peserta Pertandingan Usahawan Muda anjuran POLISAS yang bertemakan ‘Keusahawanan bagi Gaya Hidup Mampan’.

“Program bertujuan memantapkan jati diri pelajar dalam aspek keusahawanan yang boleh menjadi punca pendapatan kepada mereka pada masa depan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Norlida berkata di bawah program dua hari bermula semalam itu peserta bersaing mengumpul dana yang akan disalurkan kepada badan kebajikan terpilih sebagai memenuhi tanggungjawab sosial  korporat iaitu satu daripada tiga konsep yang menjadi asas program.

Dua lagi konsep ialah keusahawanan dan keusahawanan sosial, katanya.

Beliau berkata sebanyak 47 kumpulan telah menyertai ‘Boot Camp’ dan Sesi Pembentangan Projek Keusahawanan dan mereka perlu bersaing bagi mengisi 20 tempat dalam cabaran seterusnya.

“20 kumpulan ini kemudiannya akan bersaing untuk menjadi 10 kumpulan terbaik yang akan menerima suntikan dana RM1,000 setiap kumpulan,” katanya menambah kumpulan yang berjaya akan diumum Oktober ini. – BERNAMA

Loading...