Lebih 200 Anjing Berkeliaran Di Sepetang – Penduduk

TAIPING – Penduduk Kuala Sepetang di sini mendakwa terdapat lebih 200 ekor anjing liar berkeliaran di kawasan tersebut sehingga meningkatkan kebimbangan penularan penyakit anjing gila atau Rabies.

Malah, penduduk di Kuala Sepetang mendakwa banyak anjing liar telah mati kebelakangan ini akibat Rabies.

Seorang penduduk, Lim Ka Hock, 50, berkata anjing-anjing liar berkenaan kebanyakannya keluar pada waktu malam.

“Penduduk sangat bimbang dengan anjing-anjing ini, lagi-lagi dengan penyakit sekarang. Kita minta supaya pihak berkenaan dapat ambil tindakan supaya penduduk tidak rasa terancam,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Tan Kar Kee, 62, pula berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil langkah sewajarnya, termasuk menangkap anjing liar yang ada bagi mengelak haiwan itu menggigit manusia.

​​​​​​​“Saya sangat terkejut bila dengar ada anjing gigit orang dan harap ini tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri Perak  Dr Fuziah Muhayat berkata dakwaan penduduk banyak anjing liar mati akibat Rabies hanyalah khabar angin.

“Setakat ini hanya rumours. Jabatan masih menyiasat secara terperinci,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.

Dalam pada itu, kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri Perak serta Pejabat Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama giat menjalankan penerangan mengenai penyakit anjing gila di sekitar Kuala Sepetang.

Tinjauan Bernama mendapati petugas daripada jabatan berkenaan mula membuat pemantauan serta penerangan seawal pukul 9 pagi selain turut melakukan bancian bagi mengetahui jumlah anjing dan kucing di kawasan itu.

Pada 4 Julai lepas, dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur 11 dan 12 tahun di Kuala Sepetang digigit anjing peliharaan  mereka sebelum haiwan itu mati lapan hari kemudian.  – BERNAMA

Loading...