LHDN kesan 3,445 kes gagal kemuka borang cukai

KOTA BHARU: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan beberapa kumpulan syarikat yang didapati gagal mengemukakan borang nyata pendapatan sejak enam tahun lalu.

Anggaran keseluruhan cukai yang gagal ditaksirkan dianggar mencecah RM20 juta.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (dasar) LHDN, Datuk Noor Azian Abdul Hamid memberitahu kebanyakan kumpulan syarikat terbabit adalah dari pantai timur.

Justeru, satu operasi khas dilancarkan LHDN membabitkan 1,279 pegawai daripada 37 cawangan seluruh negara bagi mengesan 3,445 pembayar yang gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai.

"Bersempena Op Patuh ini satu operasi siasatan cukai telah pun dilaksanakan ke atas sebuah kumpulan syarikat yang didapati gagal mengemukakan borang nyata cukai pendapatan sejak tahun 2010-2016.

“Anggaran cukai yang gagal ditaksirkan sebanyak RM20 juta. Ini merupakan hasil kerjasama strategik di antara LHDN dengan SSM dalam usaha menangani ketirisan cukai," katanya.

Antara lain-lain kesalahan dilakukan syarikat terbabit termasuk tidak mempunyai fail majikan dan tiada rekod bayaran potongan gaji pekerja.