Mahkamah Rayuan Ketepikan Kebenaran Pengundi Semakan Kehakiman

PUTRAJAYA – Tujuh penggundi tidak dapat memulakan semakan kehakiman bagi mencabar cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Melaka.

Ini berikutan keputusan tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid bagi mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Melaka dalam memberikan kebenaran kepada pengundi berkenaan untuk memulakan semakan kehakiman.

Dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan Peguam Negara untuk membatalkan perintah Mahkamah Tinggi, beliau berkata mahkamah bersetuju dengan permohonan Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh.

Peguam Negara mewakili SPR dalam hal ini.

Umi Kalthum yang bersidang bersama Hakim Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos.

Ketujuh-tujuh pengundi di Parlimen Kota Melaka dan Bukit Katil memfailkan permohonan bagi kebenaran  untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar cadangan persempadanan semula oleh SPR yang didakwa mereka tidak berperlembagaan.

Ketujuh-tujuh mereka adalah Chan Tsu Chong, 29; Neo Lih Xin, 30; Azura Talib, 40; Lim Kah Seng, 30 ; Norhizam Hassan Baktee, 51 ; Amir Khairudin, 52 dan Amran Atan, 46.

Mereka menuntut perisytiharan bahawa cadangan persempadanan semula SPR berikutan kajian pada 2016 tidak berperlembagaan kerana ia tidak konsisten dengan Fasal 113 dan Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu ia tidak sah dan terbatal.

Pada prosiding pendengaran hari ini, Amarjeet Singh berhujah bahawa cadangan SPR tidak  tertakluk kepada semakan kehakiman memandangkan keputusannnya bukan keputusan undang-undang yang menjejaskan hak responden-responden dan ia juga tidak mengikat sesiapa pun.

Beliau berkata cadangan SPR mesti mempunyai kesan undang-undang dan mengikat supaya dapat disemak oleh mahkamah.

“SPR hanya mencadangkan selepas berunding dengan pihak berkepentingan dan pembuat keputusan muktamad adalah badan perundangan. SPR tidak membuat keputusan yang mengikat apabila ia menyerahkan laporan akhirnya,” katanya.

Amarjeet Singh berkata Hakim Mahkamah Tinggi sepatutnya tidak memberi kebenaran kepada para pengundi memandangkan tidak ada kes yang boleh dipertikaikan, sambil menambah kes ini adalah kes yang patut dan wajar untuk mahkamah rayuan campur tangan.

Peguam Datuk S. Ambiga berhujah bahawa kebenaran untuk semakan kehakiman perlu diberikan kepada anak guamnya sambil menambah apa yang diminta mereka adalah peluang untuk didengar kerana mereka mahu memastikan SPR tidak mengurangkan hak mereka untuk mengundi.

Beliau berkata mahkamah boleh menghukum isu-isu mengenai perlembagaan sambil menambah mahkamah boleh memutuskan sama ada cadangan SPR adalah mengikut perlembagaan.

“Kami tidak meminta mahkamah untuk campur tangan dengan proses inkuiri namun kami mengatakan mahkamah mesti menghentikan SPR daripada bertindak secara tidak berperlembagaan,” katanya. – BERNAMA

Loading...