Perairan Negara Miliki 1.8 Juta Tan Ikan Tampung Keperluan

GEORGE TOWN – Kajian Jabatan Perikanan Malaysia mendapati kawasan perairan negara mempunyai 1.8 juta tan ikan laut dengan nilai semasa RM18 bilion dan mencukupi untuk menampung bekalan penduduk Malaysia.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan berkata pada masa sama pihaknya merancang beberapa strategi untuk menambah jumlah ikan agar dapat dieksport ke luar negara, sekali gus  meningkatkan pendapatan nelayan.

“Daripada kajian yang dijalankan, jumlah ikan laut itu dapat ditingkatkan  dan berikutan itu kami telah merangka beberapa strategi antaranya menambah tukun tiruan di perairan bagi meningkatkan lagi populasi hidupan laut serta menguatkuasakan larangan penggunaan pukat yang terlalu kecil mata pukatnya kerana ia boleh menyebabkan kepupusan spesies ikan.

“Selain itu, kami juga meningkatkan rondaan untuk memastikan perairan negara tidak diceroboh warga asing yang mahu mencuri hasil laut kita dan saya juga meminta pihak nelayan bersama-sama membantu  menjaga kawasan perairan supaya sumber ikan bertambah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Touch Point Jabatan Perikanan Pulau Pinang, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Jabatan Perikanan Malaysia memperuntukkan RM130,900 kepada 124 orang terdiri daripada pengusaha akuakultur dan nelayan manakala seramai 42 pengusaha ikan sangkar menerima bantuan bencana bernilai RM21,000.

Ismail berkata pada tahun lepas sebanyak 1.9 juta tan hasil laut bernilai RM13.7 bilion berjaya didaratkan di seluruh negara, iaitu peningkatan empat peratus berbanding hasil tangkapan  2015.

“Sebenarnya peningkatan hasil laut pada tahun lepas adalah susulan beberapa tindakan yang telah Jabatan Perikanan Malaysia lakukan antaranya menguatkuasakan peraturan saiz pukat daripada  24 cm kepada 38 cm supaya hanya ikan besar ditangkap nelayan dan walaupun pada mulanya mendapat tentangan daripada mereka (nelayan) tetapi sekarang nelayan berterima kasih kepada kami kerana jumlah ikan lebih banyak serta pendapatan mereka juga bertambah,” katanya.

Katanya jumlah tangkapan hasil laut yang banyak juga dapat menurunkan harga ikan, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Perikanan Malaysia bercadang menggubal akta berkaitan ikan buntal agar hanya yang mempunyai kepakaran dan kemahiran sahaja boleh menyiang ikan mengandungi toksik itu bagi menjamin keselamatan pemakan.

“Berdasarkan kajian, semua ikan buntal dikategorikan ikan beracun, memandangkan bahagian tertentu seperti otot, kulit dan organ dalaman mengandungi racun dan  individu yang termakan racun dalam ikan buntal berisiko mengalami  kelumpuhan otot, gangguan saraf dan boleh membawa maut.

“Jadi kami tidak mengesyorkan ikan buntal yang mengandungi toksik marin itu dijadikan bahan makanan kerana dikhuatiri mengundang bahaya kepada si pemakannya dan sebab itu juga kami bercadang untuk menggubal akta berhubung ikan berkenaan,” katanya. – BERNAMA

Loading...