Percaya Suplemen, Akhirnya Leher Ditebuk

TIDAK dinafikan perkembangan teknologi masa kini amat berguna dan memudahkan pengguna untuk mendapatkan maklumat di hujung jari.

Tapi, jangan membuta tuli mempercayai terus apa yang dipaparkan terutama dalam media elektronik yang tidak tahu sejauh mana kesahihannya.

Sekiranya sakit, kita seharusnya merujuk kepada pihak yang betul-betul mengetahui dan lebih arif berkenaaan penyakit tersebut untuk mendapatkan nasihat.

Bukan hanya memandai-mandai, kesannya diri sendiri yang menanggung.

Berdasarkan kisah dikongsi Pakar Perunding Perubatan dan Buah Pinggang, Rafidah Abdullah di laman Facebooknya baru baru ini mengenai ketaksuban terhadap suplemen untuk sakit lutut, akhirnya leher terpaksa ditebuk mampu membuka mata umum.

Kisah tersebut tentang seorang mak cik berusia lingkungan 65 tahun yang mengalami masalah lutut tetapi tidak pernah berjumpa pakar ortopedik apatah melakukan sinaran X.

Sepanjang jangka sakit itu, beliau hanya mengambil suplement campuran yang diketahui fungsinya daripada iklan semata-mata.

Pada awalnya, memang mak cik tersebut mampu berjalan seperti biasa tetapi hanya untuk waktu yang sementara.

Ketika dirujuk ke hospital, doktor mendapati buah pinggang mak cik tersebut telah rosak! Lehernya  ditebuk bagi tujuan dialisis!

Ngeri! Kita yang baca pun sudah rasa sakit inikan pula mak cik itu yang menanggung.

Mak cik tersebut amat menyesal dengan tindakannya sebelum ini yang ambil mudah dan mempercayai secara membuta tuli.

Rafidah justeru menasihati orang ramai sekiranya mengalami masalah yang sama, segeralah merujuk dengan doktor dan jika perlu terus kepada pakar ortopedik.

Melakukan ujian X-Ray amat digalakkan

Selain itu, jangan sesuka hati mengambil suplemen tanpa berbincang dengan doktor terlebih dahulu.

Sekiranya terdapat gejala kegagalan buah pinggang, berbincanglah dengan doktor dan sekiranya disaran melakukan ujian lanjut, jangan tangguh!

Rafidah memberi saranan menggunakan buah delima yang asli dan dibancuh sendiri kerana ia adalah lebih berkhasiat berbanding yang sudah siap diproses. Yang asli itulah yang bagus! Jimat duit, kesihatan pun terjaga.

” Nak ambil pati ke, jus ke, pergilah beli buah delima di supermarket. Sangat berkhasiat yang itu. Bancuh sendiri, nak buat apa dengan buah delima segar itu, buatlah,” katanya.

Oleh itu, bersamalah kita mengambil iktibar atas kejadian ini.

Rujuk pihak yang arif sekiranya tidak pasti. Sesungguhnya kesihatan yang baik itu menjamin, masa hadapan yang cerah.

Dr Rafidah Abdullah merupakan seorang doktor sejak 1996 dan pakar buah pinggang sejak 2005. Beliau juga merupakan salah seorang ahli aktif #MedTweetMY di laman Twitter. – MYNEWSHUB.CC

Oleh : Amy Maizura

Loading...