Perjawatan Anggota Polis Di Bagan Datuk Disegerakan

TELUK INTAN – Perjawatan anggota polis untuk ditempatkan di daerah Bagan Datuk akan disegerakan bagi mewujudkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Bagan Datuk, kata Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan.

Beliau berkata pengambilalihan tanah seluas enam hektar sebagai tapak IPD itu telah selesai dan kerja-kerja pembinaan akan dijalankan tidak lama lagi.

“Buat masa sekarang anggota di Balai Polis Hutan Melintang dan Balai Polis Bagan Datuk akan ditambah bagi memenuhi keperluan penugasan sementara menunggu IPD Bagan Datuk itu siap,” katanya ketika berucap pada majlis serah terima tugas ketua polis daerah Hilir Perak di sini, hari ini.

Pada majlis itu, bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar  menerima tugas sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan ACP Wan Hassan Wan Ahmad, 50 yang bertukar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard.

Dalam ucapannya Hasnan turut memuji Wan Hassan kerana telah menjalankan tugas dengan cemerlang selama 14 bulan termasuk menurunkan kadar jenayah di Hilir Perak sebanyak 14 peratus.

“Saya kagum dengan prinsip dan komitmen beliau. Malah kecemerlangan Wan Hassan turut mendapat pujian daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi setiap kali ada program di Hilir Perak,” katanya.

Sementara itu, Mohd Marzukhi berazam untuk melaksanakan tugasnya sebaik mungkin di Hilir Perak yang merupakan daerah tugasan pertamanya di luar Lembah Klang.  – BERNAMA

Loading...