Remy Ishak Tegur Perangai Artis Baru

SELAMA sedekad bergelumang dalam dunia seni, aktor serba boleh Remy Ishak boleh dikatakan berpengalaman luas dalam bidang lakonan.

Keberkesanan lakonannya dalam membawakan apa jua watak dipuji ramai, sehingga diberikan kepercayaan untuk berganding dengan ramai pelakon hebat dalam industri.

Namun itu tidak bermakna Remy terlalu selektif dalam memilih sparring partner dalam naskhah yang dikerjakan.

Terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja, Rey bagaimanapun meluahkan rasa kecewanya dengan sikap kebanyakan pelakon yang mula meningkat naik hari ini.

Bukan cuba untuk kelihatan ‘lebih bagus’ atau ‘berlagak senior’, tetapi niat pelakon filem Kau Takdirku ini hanyalah untuk menegur artis-artis baru agar industri seni terus berkembang dengan maju.

“Tidak dinafikan sekarang saya banyak bekerja dengan orang baru. Bagi saya pelakon baru kini perlu lebih fokus pada lakonan dan bukannya telefon bimbit,” katanya kepada portal Sinar Online.

Kata Remy lagi, tegurannya itu adalah seperti sebagai seorang abang yang risau melihat pelakon baru kini tidak mempunyai dedikasi seperti pelakon veteran atau pelakon yang sezaman dengannya.

“Kebanyakan pelakon kini bukan datang dari sekolah filem. Ada diantaranya menyertai industri seni kerana mungkin mereka merasakan bagaimana agaknya bila menjadi orang popular.

“Atas faktor itu, tumpuan, dedikasi dan komitmen mereka pada karakter dan skrip tak sama macam kami dulu.

“Apatah lagi zaman kini, penggambaran dilakukan dengan kamera digital, jadi mereka kurang menghargai apa yang mereka lakukan. Saya rasa batch saya antara yang terakhir shooting pakai filem dan kami ketika itu amat menghargai karya dan watak yang kami lakonkan,” ujarnya.

Tambah Remy lagi, sebelum ini dia bersikap optimistik bahawa sikap pelakon-pelakon baru ini akan berubah, namun dia menjadi bertambah kecewa apabila mereka semakin tiada semangat dan seakan-akan tidak serius dalam bidang seni.

“Bayangkan ada antara mereka yang datang set baru nak tengok skrip, ada pula yang tak bawa skrip, ada yang sampai set tanya apa yang mereka perlu buat hari ini.

“Masa saya dulu, semua pelakon duduk berbincang di set tentang watak, skrip agar kami lebih faham dan boleh beri yang terbaik. Tapi sekarang dah tak rasa lagi suasana itu.

“Disebabkan trend dan cara mereka kinilah, kadang kala saya takut nak berlakon dengan orang baru. Tapi nak buat macam mana kan, mereka ini sekarang yang mempunyai permintaan tinggi,” jelas Remy.

Dalam pada itu, Remy berharap agar pelakon-pelakon pelapis ini berubah sikap dan lebih serius jika mahu kekal diingati dalam industri hiburan tanah air.

Betul juga apa kata Remy tu, artis muda kebelakangan ini ramai yang popular kerana rupa paras dan tergedik-gedik di media sosial sahaja, komitmen hauk!-MYNEWSHUB.CC

Loading...