SC Kaji Semula Garis Panduan Ketekunan Wajar

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang mengkaji semula garis panduan ketekunan wajar bagi meningkatkan keberkesanan dalam penilaian cadangan korporat, kata Timbalan Ketua Eksekutif, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Garis panduan yang dikaji semula itu akan memberi kejelasan mengenai standard dan jangkaan serta kebertanggungjawaban pihak yang terlibat.

“Kajian semula itu melibatkan kerjasama profesional industri, undang-undang serta perakaunan,” katanya pada Persidangan Pasaran Modal 2017 di sini , hari ini.

Ahmad Fairuz berkata, SC sedar pendekatan proaktif dan bersesuaian adalah penting dalam mengoptimumkan peluang dan menguruskan cabaran yang muncul daripada landskap ekonomi dan pasaran yang sentiasa berubah.

“Perkara utama dalam agenda kami ialah untuk memudahkan akses kepada pasaran modal dengan mengurangkan masa penerbitan produk ke pasaran dan meningkatkan kecekapan operasi.

“Contohnya, sejak beberapa tahun lepas, kami telah meneruskan liberalisasi tambahan rangka kerja pengawalseliaan kami untuk segmen pasaran terpilih yang telah memperoleh tahap kematangan dan kesediaan tertentu,” katanya.

Persidangan sehari itu dianjurkan Institut Akauntan Malaysia (MIA) bagi menonjolkan topik berkaitan perkembangan semasa pasaran modal dan kepentingan penilaian perniagaan dalam dunia yang pesat berubah.

Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr Nurmazilah Mahzan berkata, memandangkan Malaysia bergerak ke arah menjadi destinasi global untuk pelaburan, kualiti tadbir urus korporat pasaran modal akan mewujudkan perbezaan yang ketara.

“Untuk menarik, mengekal dan melindungi kepentingan pelabur, profesion perakaunan dengan jelas mempunyai peranan besar dan penting dalam membina pasaran modal yang boleh dipercayai, bereputasi dan kompetitif,” katanya.

Persidangan itu juga menyentuh topik berkaitan pelaporan bersepadu untuk maju ke depan serta kesan teknologi kewangan dalam pasaran sekuriti.

Nurmazilah berkata, MIA akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan lain untuk membina rangka kerja kawal selia dan tadbir urus korporat yang lebih kukuh di negara ini.

“MIA dan SC Malaysia menggalakkan lebih banyak syarikat untuk mengguna pakai pelaporan bersepadu  sebagai cara untuk maju ke depan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Bursa Malaysia Bhd, Datin Azalina Adham berkata, bursa tempatan akan memperkenalkan Platform Pencepat Usahawan Utama (LEAP), yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Walaupun terdapat pelbagai kemudahan perbankan, pendanaan awam dan Pasaran ACE, LEAP akan mengisi jurang dalam menawarkan perusahan kecil dan sederhana satu alternatif dalam mengumpul modal,” katanya pada persidangan tersebut.

Azalina berkata, keperluan LEAP adalah lebih mudah berbanding di Pasaran ACE.

— BERNAMA