Setiap Tahanan Dipercayai Sogok RM2,000 Jumpa Keluarga

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye berkata wang berjumlah RM6,000 itu kemudiannya dipercayai diserah kepada semua anggota polis terlibat untuk dibahagikan.

“Siasatan kes berkenaan telah lengkap dan dihantar ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut dan polis masih mengesan tahanan yang melarikan diri itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, tiga tahanan dibawa keluar dari lokap berpusat Bayan Baru dekat sini pada 2 pagi dengan alasan untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan, namun, siasatan mendapati mereka dibawa bertemu keluarga masing-masing di Sungai Ara.

Seorang daripada mereka, Anuar Ayat, 43, yang merupakan tahanan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya melarikan diri ketika dikatakan bertemu dengan rakannya di Sungai Nibong selepas menemui keluarganya di sebuah kondominium di Sungai Ara.

Susulan itu, lapan anggota polis berumur 27 hingga 59 tahun ditahan dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis Rabu lepas dan digantung kerja sehingga siasatan selesai.

— BERNAMA