Sistem Tiket Bersepadu Rel Menjelang Akhir Tahun

KUALA LUMPUR – Sistem integrasi tiket yang menggunakan satu tiket bagi perkhidmatan rel di negara ini dijangka dilaksanakan menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata sistem integrasi tiket tersebut melibatkan semua perkhidmatan rel termasuk projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura dan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang.

Katanya, dua pengendali terbesar perkhidmatan rel, Keretapi Tanah Melayu Berjad (KTMB), yang mengendalikan perkhidmatan Komuter dan pengendali sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Prasarana Malaysia berhad (Prasarana) sudah mengadakan perbincangan ke arah mewujudkan  sistem tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada beberapa isu perlu diselesaikan terlebih dahulu berikutan kedua-dua pengendali tersebut mempunyai sistem tiket yang berlainan.

“Sistem in saling lengkap antara perkhidmatan rel dan mudah untuk penumpang melakukan perjalanan dengan menggunakan hanya satu tiket,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mural di stesen LRT Ampang Park di sini hari ini.

Sistem tersebut merupakan inisiatif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai salah satu transformasi kerajaan memperbaiki kecekapan pengangkutan awam darat, sekali gus meningkatkan keselesaan pengguna.

Mengenai majlis, Liow berkata seni mural yang dilakukan oleh beberapa pelajar kolej pada dinding stesen LRT berkenaan mencerminkan kewujudan pelbagai budaya dan kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Beliau berkata mural tersebut adalah salah satu kaedah membantu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat daripada berbilang kaum dan bangsa di negara ini.

“Melalui seni mural ini, kita akan dapat mengekalkan tradisi dan budaya kita,” katanya. – BERNAMA

Loading...