Sultan Perak Rasmi Fakulti Perubatan UiTM Teluk Intan

TELUK INTAN – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Teluk Intan di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di-Hilir Perak dan Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Besar,Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, pegawai kerajaan dan exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Idris dalam ucapannya, berkata kewujudan Fakulti Perubatan UiTM kampus Teluk Intan bertepatan dengan aspirasi untuk melahirkan pelajar perubatan berstatus antarabangsa yang mampu memenuhi kekosongan keperluan perubatan di dalam mahupun di luar negara.

Katanya, kampus berkenaan telah dibina dengan tujuan menjadikan ia sebagai sebuah Pusat Kaji Selidik Komuniti yang memberikan penekanan terhadap kesihatan masyarakat di luar bandar.

“Kita sedia maklum, kampus perubatan amat penting bagi memastikan kelestarian taraf kesihatan sentiasa berada pada tahap terbaik. Kejayaan UiTM menyumbang dalam peningkatan sistem pendidikan perubatan sememangnya tidak dapat dinafikan.

“Justeru itu saya percaya kewujudan kampus perubatan ini mampu memberikan banyak impak positif, bukan saja kepada pelajar bahkan juga memberi manfaat kepada masyarakat di sekitarnya,” katanya.

Bercirikan seni bina moden dan futuristik, UiTM kampus Teluk Intan yang dibina di atas tanah seluas empat hektar itu dikhususkan untuk pelajar Fakulti Perubatan dan pembinaannya telah siap pada Oktober 2010.

Ia menempatkan pelajar tahun tiga Fakulti Perubatan untuk tugasan kesihatan luar bandar dan kesihatan awam pada penghujung 2010.

Kini pengambilannya ditingkatkan kepada seramai 230 pelajar dalam setiap pengambilan, menjadikannya jumlah pengambilan teramai dalam kalangan fakulti perubatan di Malaysia. – BERNAMA

Loading...