Syarikat Tempatan Terlibat MRT SBK Diharap Teroka Pasaran Baharu

KAJANG — Datuk Seri Najib Tun Razak berharap syarikat-syarikat tempatan, termasuk syarikat bumiputera yang terlibat dengan projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK), menggunakan pengalaman mengendalikan projek itu untuk menerokai peluang pasaran baharu.

Perdana Menteri berkata kejayaan melaksanakan projek mega itu telah membuktikan syarikat-syarikat terbabit berupaya dan mampu bersaing bukan hanya dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Projek ini telah dapat dilaksanakan dengan menggunakan kepakaran syarikat Malaysia termasuk syarikat bumiputera, sekali gus terbukti kemampuannya.

“Jadi apa yang perlu bagi kita ialah apabila kita melaksanakan projek mega seperti ini untuk mendapatkan pengalaman dan ilmu sebanyak mungkin. Gunakan ilmu dan pengalaman itu untuk kita menerokai pasaran lain,”  katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemu bual secara santai oleh pengacara majlis sebaik tiba di Stesen MRT Stadium Kajang di sini  dari stesen bawah tanah Tun Razak Exchange selepas melancarkan Fasa kedua MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) di stesen berkenaan. – BERNAMA

Loading...