[Video] 10 Fakta Menarik Pengguna MRT Perlu Tahu

[Video] 10 Fakta Menarik Pengguna MRT Perlu Tahu

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka merasmikan Fasa Kedua MRT di stesen Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur hari ini. (Gambar: MRT Malaysia - Twitter)

Tarikh 17 Julai 2017 hari ini menjadi hari bersejarah buat rakyat Malaysia di sekitar Lembah Klang khususnya apabila berpeluang menggunakan satu lagi perkhidmatan awam terbaik yang disediakan kerajaan.

Selepas fasa pertama projek ini membabitkan perjalanan dari stesen Sungai Buloh ke stesen Semantan sudah mula beroperasi pada 16 Disember 2016, kini perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) boleh digunakan sepenuhnya dari Sungai Buloh ke Kajang tanpa berdepan masalah kesesakkan lalulintas.

Kemudahan stesen MRT turut menghubungkan perkhidmatan awam lain seperti LRT, ERL, monorel, KTM dan bas.

Kelebihan perkhidmatan MRT bukan saja selesa, pantas, mempunyai ruang lebih besar untuk menampung jumlah penumpang lebih ramai tetapi paling penting ia mengatasi masalah trafik di lokasi utama di dalam bandaraya seperti Bandar Utama, Damansara, Bukit Bintang, Cheras sehingga ke Kajang.

Sebagai contoh, jika penumpang menaiki MRT dari Kajang menuju Bukit Bintang, perjalanan hanya mengambil masa selama 33 min dengan kadar bayaran sebanyak RM3.80. Ini tentunya lebih menyenangkan dan juga menjimatkan perjalanan dari aspek masa dan kos petrol jika menggunakan kenderaan sendiri.

Perdana  Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka merasmikan fasa kedua perkhidmatan MRT di stesen Tun Razak Exchange pada jam 11 pagi ini sebelum ia dibuka pada umum bermula jam 4 petang ini.

Laluan perjalanan MRT Fasa Kedua yang menghubungkan perjalanan sejauh 51 kilometer.

Berikut 10 fakta menarik mengenai MRT untuk informasi pengguna:

  1. menghubungkan perjalanan dari Sungai Buloh ke Kajang sejauh 51 kilometer.
  2. jarak 9.5 kilometer jajaran MRT dibina di bawah tanah menempatkan tujuh stesen.
  3. setiap tren mempunyai empat gerabak dengan kapasiti 1,200 penumpang.
  4. dijangka 400,000 penumpang menggunakan perkhidmatan MRT pada setiap hari.
  5. menghubungkan 31 stesen membabitkan di lokasi tumpuan di tengah bandaraya manakala 14 stesen dengan kemudahan 'park & ride'.
  6. operasi bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam dari Isnin sehingga Jumaat manakala pada Sabtu dan Ahad, perkhidmatan tren berakhir jam 11 malam.
  7. kekerapan tren adalah 3.3 minit.
  8. terdapat 8,000 ruang parkir di stesen MRT.
  9. kekerapan bas pengantara adalah setiap 10 sehingga 15 minit.
  10. pengguna boleh berjalan kaki dalam terowong menghubugkan laluan seperti dari stesen Muzium Negara ke stesen KL Sentral manakala stesen Pasar Seni antara MRT dengan LRT.