'Nak sangat peluk mak' [METROTV]

“MEMANG saya berhajat nak sangat peluk mak bila dapat pulang ke Malaysia,” kata Mohd Zaidi Mohamad, 24, seorang daripada dua nelayan yang dibenarkan pulang hari ini selepas lebih tujuh bulan ditahan di Indonesia.

Mohd Zaidi ditahan tentera Indonesia di Pulau Tarempa, Riau, 8 April lalu selepas bot dinaikinya tersasar memasuki perairan antarabangsa.

Katanya, dia amat bersyukur kerana doanya termakbul sehingga dibenarkan pulang ke negara ini.

"Rasa macam tak percaya. Maklumlah, sepanjang lebih setengah tahun dikelilingi orang asing, kami dapat pulang bertemu keluarga tercinta.

"Apapun paling bersyukur apabila dapat peluk dan cium mak selepas begitu lama tak bertemu," katanya ketika ditemui di Dataran Permata, Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.

Ibu Mohd Zaidi, Rokiah Embong, 52, berkata, sepanjang anak bongsunya itu ditahan, setiap malam dia digenangi air mata.

"Tapi saya tidak putus harapan dan sentiasa melakukan solat hajat memohon supaya dia dilepaskan. Adik beradiknya yang lima orang juga sering melahirkan rasa sedih dan rindu kepada Zaidi, manakan tidak, biasa berenam tiba-tiba tinggal lima," katanya yang menetap di Seberang Takir.

MOHD Zaidi (dua kiri) memeluk ibu, Rukiah (kiri) manakala Mohd Firdaus (dua kanan) memeluk isterinya, Nur Rasmaniza Erna Abd Rashir, 21, (kanan) selepas selamat pulang ke tanah air. FOTO Ghazali Kori

Seorang lagi nelayan yang tiba hari ini, Mohd Firdaus Mohamad, 27, dari Kemaman, Terengganu, berkata, dia berasa seperti mimpi apabila pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini selepas lebih setengah tahun.

"Sepanjang di sana, mujurlah ramai orang kampung yang bermurah hati dan sanggup meminjamkan telefon bagi membolehkan kami menghubungi keluarga di sini.

"Memang saya risau dan bimbang, lebih-lebih lagi bila diberitahu biasanya mereka yang ditahan seperti saya perlu menunggu lama sehingga lima tahun tetapi mujur ia tidak berlaku kepada kami.

"Saya juga amat berterima kasih kepada Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman) yang sentiasa bertanya khabar kepada keluarga kami," katanya.