Putera sulung Sultan Kedah dimasyhur sebagai Raja Muda

ALOR SETAR: Putera sulung Sultan Kedah, Tunku Sarafudin Badlishah Sultan Salehuddin, 50, dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah yang ke-20.

Istiadat pemasyhuran yang penuh adat istiadat diraja itu disempurnakan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Watikah pemasyhuran dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din, diikuti lafaz sumpah dan menandatangani watikah sumpah Raja Muda Kedah.

Baginda seterusnya dikurniakan keris kebesaran diikuti paluan nobat dan sembilan das tembakan meriam.

Tunku Sarafudin sebelum ini memegang jawatan Tunku Laksamana Kedah.

Mengantikan baginda untuk jawatan berkenaan ialah adinda baginda, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Pemasyhuran Tunku Shazuddin sebagai Tunku Laksamana Kedah turut dibuat pada majlis yang sama.

Turut berangkat pada majis berkenaan ialah Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.